KEPADA SETANDAN PISANG.....
Menyedari tangan belati kian hampir
Daun pisang itu kini melenturkan diri
Merapati setandan pisang yang tetap bergetah
Walau dahulu sanggup menampan badai
"Jika kau masih juga dengan helahmu
Sedang kau tahu aku tetap sehelai daun
Aku reda; biarlah getahmu menyelubungiku
Ketika aku disirat-sirat belati."
A.B.M. FAJEER, Warisan
Membaca pemikiran ABM Fajeer dari kiasan 'Setandan Pisang'
Bagaimanakah bentuk sebuah puisi yang bagus? Secara peribadi, saya fikir puisi yang efektif haruslah diangkat dengan ekspresi yang jujur, dan menampilkan naratif yang hidup. Yang bagaimana? Pada bacaan pertama saja, puisi itu sudah berupaya membujuk pembaca untuk menghargai seni bahasanya, menghayati jalur fikirnya dan dapat merasa ada satu sentuhan yang tidak boleh ditepis-tepis. Justeru, puisi yang bagus sewajarnya diungkap dengan kata-kata yang telus dan mudah: tetapi bukan dipermudah-mudahkan. Ia juga harus membancuh sedikit elemen misteri dan provokasi: tetapi bukan suatu yang kalut dan membebankan minda. Ciri-ciri ini saya temui dalam puisi Kepada Setandan Pisang (KSP): tulisan ABM Fajeer yang dipetik dari Laman Diskusi Kelab Sastera Maya Sabah (KEMSAS) bertarikh 12 Mac 2005 (siaran asal).
KSP, pada hemat saya adalah sebuah puisi yang mempunyai kesan sentuh dan tujahan makna yang sangat dalam. Di mana asas kekuatan puisi ringkas dua stanza ini? Ia datang dari kombinasi pelbagai elemen. Nada ucapnya, pilihan diksi, gaya metafora dan tentu sekali keunikan inti cerita. Puisi ini kaya dengan falsafah. Barangkali ia harus digali (sebelum dapat dikecap), tetapi prosesnya tidak sukar. Puisi ini sifatnya ringan dan mudah disusuri, asalkan saja kita mahu mena'akul. Jika anda seorang penyair muda yang sedang tercari-cari arahtuju pengkaryaan kreatif - maka, letakkan KSP sebagai tanda aras sebuah petunjuk kualiti. Jika saya sendiri harus memilih puisi-puisi idola (untuk memandu jurus penulisan kreatif), tentu sekali KSP adalah salah satu senarai wajib! Ya, barangkali tidak semua penulis memiliki pemikiran, daya-olah ilham dan seni-sampai bahasa setajam ABM Fajeer. Pun begitu, kita semua sekurang-kurangnya boleh mengambil pedoman dari ketelitian ABM Fajeer memilih perlambangan, dan kesederhanaan beliau dalam bermain kata-kata. Sastera yang indah selalunya lahir secara bersahaja, bukan dipaksa-paksa.
Puisi KSP bertukar nada dua kali, dan peralihan itu sendiri menjadi sebahagian tarikan unik karya ini. Stanza pertama diungkap dengan gaya naratif biasa. Manakala, gaya dialog (dengan sedikit unsur monolog) diguna sebagai nada utama dalam stanza seterusnya. Pada stanza kedua ini: tertonjol ciri-ciri yang bersifat sedikit provokatif. Kita dicabar untuk menafsir siapakah ‘kau’ dan ‘aku’ – relatif kepada rangkap pertama. Saya fikir ‘aku’ dirujuk kepada daun pisang yang sedang menanti belati menyiratnya (walaupun dulu, ia adalah wira penampan badai!). ‘Kau’ alias ‘mu’ pula adalah si tandan pisang yang tentunya semakin membesar, kian matang, dan tambah bergetah. Di sinilah plot cerita puisi pendek ini berfokus – pada sebatang pohon pisang. Kemudian, plot ini dipadatkan dengan sejuta makna: hasil interaksi dan konflik antara (daun) ‘aku’ serta (tandan) ‘kau alias mu’ (rujuk: Daun pisang itu kini melenturkan diri/Merapati setandan pisang yang tetap bergetah). Kemudian, paras olahan personafikasi diperkuatkan dengan kehadiran unsur ketiga, sang belati (rujuk: Menyedari tangan belati kian hampir/Ketika aku di sirat-sirat belati).
Apa istimewanya pemilihan metafora pisang: sang daun dan si tandan? Pertama, nilai sabitan dari sudut latar budaya setempat. Pisang adalah sejenis tanaman yang sangat intim dengan masyarakat Nusantara (selain kelapa, pinang dan sirih). Ia menawarkan pelbagai fungsi ekonomi dan budaya; misalnya, dari sudut sajian dan makanan, hinggalah kepada amalan ritual yang khusus (memandikan jenazah, bersunat, dll). Kedua, dari sifat fizikal pisang itu sendiri. Daun dan tandan adalah unsur fisiologi terpenting bagi sepohon pisang. Jika begitu, mengapa tandan harus ‘berhelah’ kepada daun (rujuk: "Jika kau masih juga dengan helahmu/Sedang kau tahu aku tetap sehelai daun)? Kemudian, masih lagi pada pohon yang sama: mengapa rintihan rela-terpaksa sang daun ditujukan pula kepada tandan pisang sedang yang menyiratnya adalah tangan belati (rujuk: Aku reda; biarlah getahmu menyelubungiku/Ketika aku di sirat-sirat belati)? Satu paradoks yang menarik, bukan?
Bagaimana dua sebab di atas menjadikan puisi KSP istimewa dan kuat? Jika dikaji puisi-puisi Melayu tradisional (pantun, seloka, gurindam): unsur alam sering diguna sebagai perlambangan untuk menyampaikan mesej tersirat. Teknik begini sangat berkesan dan bertambah kuat sentuhannya – jika dibawa tanpa gaya pesonfikasi yang berlebihan. Inilah yang ABM Fajeer berjaya lakukan (dan saya cukup kagumi beliau atas kemahiran ini!). Seluruh ungkapan puisi ini lahir dengan bahasa yang sederhana, segar dan jujur. Natijahnya, terhasil sebuah imbangan yang indah. KSP termanifestasi sebagai puisi yang tebal dengan elemen tradisi (terpancar sifat-sifat ‘basahannya’) – tetapi, masih dibekalkan dengan nada puitis yang mencukupi; sesuai dengan keperluan citra sebuah sajak moden. Bancuhan unik sebegini saya lihat sebagai jati-diri kepenyairan ABM Fajeer yang tuntas dan jelas. Justeru, saya percaya bahawa ABM Fajeer, barangkali adalah satu-satunya penulis Sabah yang mempunyai citra demikian: ‘penyair moden yang tegar dengan gaya klasik’.
Tarikan kedua daripada metafora pisang ABM Fajeer adalah jelmaan ‘daun’ dan ‘tandan’ sebagai dua watak yang dipesonafikasikan. Ia menimbulkan misteri, tetapi misteri yang bersifat provokasi serta menuntut untuk disusuri, dan bukannya suatu yang kalut-kacau. Mengapa? Kerana pisang sudah begitu sinonim dengan budaya hidup harian kita semua. Pisang dan elemen fisiologinya dalam konteks botani – tentunya suatu yang mudah dan biasa-biasa. Cuma, ABM Fajeer memindahkan ‘elemen yang mudah’ ini kepada ‘satu plot kreatif yang indah’ menerusi kemelut dan komunikasi di kalangan entiti-entiti dalam pohon pisang itu sendiri. Sang daun merintih-keluh kerana akhirnya dipangkas dengan belati. Sebaliknya, tandan pisang pula seakan-akan seperti kurang simpati. Ia sendiri terus bergetah dan semakin bergetah. Tika siratan pertama belati dilepaskan, sang daun yang pernah tegar menampan badai dengan hamparnya yang lebar: akhirnya terkulai layu di sisi tandan pisang yang semakin bergetah, bakal ranum dan tentunya akan lebih dihargai (oleh pemilik kebun).
KSP adalah cermin realiti kepada ragam hidup manusia. Di sekeliling kita sebagai manusia, ada ratusan belati yang bakal menyirat bila-bila masa. Manusia juga adalah komponen sebuah sistem (yang dikenali sebagai ‘masyarakat’ mahupun ‘organisasi’). Jika sistem itu dipersiskan sebagai pohon pisang; maka, kita semua adalah sang daun atau si tandan. Ada yang menampan badai sebelum layu. Ada yang bergetah dan bakal ranum memakmurkan tuan kebun. Ada yang tersungkur terlebih dahulu (kerana dilibas belati). Ada pula yang menyusul lebih terkemudian. Pun, hakikat yang pasti: setiap satu mempunyai peranan dan sumbangan tersendiri. Cuma barangkali – ada saatnya, sebahagian antara kita lebih pintar berhelah dan ‘bergetah’ dari orang lain. Ada saatnya juga ramai di kalangan kita, terpaksa memilih untuk layu dan tunduk begitu-begitu saja. Ya, dengan reda dan rela menyerah pada belati. Akhirnya, sekadar mampu bergelumang dan berselubung dengan 'getah' orang lain.
(Tanpa sebarang niat mahu mempolitikkan puisi murni ABM Fajeer, atau mahu menyelewangkan fikrah asalnya - saya terpanggil untuk memberi satu tanggapan peribadi) Kepada Setandan Pisang.... mengingatkan saya kepada cerita ‘bintang-bintang Negeri’ yang pernah didebatkan, dipuisikan dan dipantunkan di laman KEMSAS suatu masa dulu. Siapakah golongan penulis dalam konteks sepohon pisang: sang daun tua nan disirat belati (lalu terus merintih) atau si tandan gebu nan bergetah (yang kurang bersimpati)?