(i)
Blog ini sudah agak lama tidak dikemaskini. Barangkali ada yang menyangka (mungkin juga berdoa?), saya telah mati. Terutama para pembaca yang kurang menyukai sentimen politik blog ini. :) Malang sekali, sangkaan jahat itu tersasar belaka.
Sesungguhnya, saya masih hidup. Bahkan, makin bertambah 'sihat'. Dari sehari ke sehari. Terima kasih, Tuhan. Atas limpah kurnia ini. Memberi hamba-Mu kesihatan dan keselamatan dunia.
Saya tau, entri ini panjang bertele-tele. Sila bancuh lima cawan kopi. Tapi kalau kamu ini orang Sabah (atau tinggal di Sabah), silalah baca. Ini isu terhangat masakini. :)
(ii)
Ada satu fenomena yang sangat menakutkan sedang melanda Sabah. Terutama sekali Kota Kinabalu. Kamu tahu apa? Tidak lain dan tidak bukan -- 'Gianization'. Atau, bolehkah saya memanggilnya proses 'peng-GERGASI-an'?
Bagi yang kurang peka, biar saya beri sedikit penjelasan tentang virus ekonomi ini. Yang saya sifatkan sebagai penjajahan pasaran oleh seekor Gergasi rakus. Sedar atau tidak, semenjak dua menjak ini -- rangkaian superstore 'Giant' semakin bermaharejalela. Sejak setahun yang dulu, ia telah membuka cawangan merata-rata. Sampai ke ceruk pedalaman seperti Keningau!
Lebih mengerikan lagi, Gergasi ini bukan setakat buka cawangan. Malah, dengan penuh haloba ia juga mengambil-alih hypermarket sedia ada. Antara yang telah lenyap dibaham oleh Gergasi ini adalah: Bestmart dan Likasmart. Itu belum termasuk supermarket kecil-kecilan yang turut jadi mangsa.
(iii)
Mungkin kamu akan tertanya-tanya. So what? Apalah konon masalahnya? What's so fuc*ing big deal about it?
Bahkan, saya tau terlalu ramai antara kita yang sebenarnya suka dengan situasi ini. Sampai terkinja-kinja beruk. Kenapa? Kerana Giant menawarkan khidmat runcit yang lebih pelbagai di bawah satu bumbung. Barangannya pula lebih murah. Bukankah itu menguntungkan?
Ya, ia menguntungkan bagi mereka yang mindanya terlalu cetek untuk menilik secara jangkapanjang. Ya, ia juga menguntungkan jika kehidupan manusia hanya berkisar pada aspek material semata-mata. Persoalannya, kita ini masyarakat jenis begitukah?
Memang mod ekonomi kapitalisme bukan 100% bobrok. Persaingan bebas (survival of the fittest) itu kadangkala ada bagusnya. Tapi ingat, 'kadangkala' saja. Bukan selalu. Saya fikir, monopoli pasaran bukan satu gejala yang sihat. Terutama bagi majoriti masyarakat Sabah, yang rata-rata berada di bawah kelas pertengahan. Tidak memiliki kuasa-beli yang tinggi. Serta bukan pemacu pasaran yang signifikan.
(iv)
Kamu suka monopoli? Fikir dulu sebelum terlambat. Manis dan indahnya, hanya sementara. Percayalah.
Mari lihat beberapa contoh. Cuba fikir semula perbuatan celaka Proton, terutama ketika ia menguasai 80% pasaran kereta tempatan. Ya, sebelum wujud saingan dari Perodua (yang sekarang ini telah jauh mengatasi Proton -- ya, saya suka banget!). Tengok pula pada ketamakan MAS yang suka-suka hati saja meningkatkan kadar tambang penerbangan domestik. Kononnya, itu adalah kenaikan yang tak boleh dielakkan. Tapi si bangsat penipu itu pandai pula turun harga bila ia mula disaingi oleh Airasia.
Kita semua juga tahu, ASTRO (penguasa tunggal sistem penyiaran satelit di Malaysia) masih lagi kekal sebagai kapitalis penghisap darah paling tersohor segenap alam semesta. Bayangkan, kita dipaksa membayar yuran langganan dengan kadar sekurang-kurangnya 5 kali lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh rakyat Indonesia (untuk khidmat penyiaran yang setara). Kenapa di sana murah? Kerana Indonesia mempunyai beberapa pilihan (yang saling bersaing) untuk khidmat penyiaran satelit.
Itu hanya satu-dua contoh peringkat nasional. Ada banyak lagi kalau mau disebut. Peringkat lokal pun, ada macam-macam kes yang boleh dirujuk. Contoh terbaru, bila rangkaian kapitalis Sutera Harbour (perogol keamanan alam sekitar Sabah itu!) diberi kuasa monopoli pakej pendakian ke Gunung Kinabalu. Kalau dulu, hanya perlu bayar sekitar RM65 seorang untuk merasa pengalaman berada di puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
Sekarang kosnya naik RM300. Kenaikan hampir 500%. Ini bukan lagi peningkatan tahap gila babi. Bukan juga sekadar kenaikan 'gila sekandang babi'. Tapi ini sudah jadi 'gila berjuta-juta babi'. Saya fikir Sutera Harbour wajib ditukarnama kepada Sutera Babi. Setuju?
(v)
Nampak gaya, hanya pelancong asing saja yang mampu menikmati keindahan Gunung Kinabalu. Barangkali majoriti penduduk jati Kundasang tidak akan berpeluang lagi menghayati warisan alam teragong di bumi mereka sendiri. Ya, sang Nabalu yang mencerminkan pelbagai persona budaya dan tradisi pemikiran suku Dusun daerah Ranau.
Saya sungguh tidak mengerti kenapa Datuk Masidi Manjun (Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Sabah) -- yang juga merupakan anak jati daerah pergunungan ini -- boleh mengizinkan situasi begitu berlaku. Kalau Sabah kemaruk sangat mahu untung pun, usahlah sampai menggadai khazanah tempatan. Semata-mata diumpan godaan wang-ringgit.
Saya fikir, Sabah Park patut mengurus Taman Kinabalu (termasuk pakej pendakian gunung) dengan pendekatan berteraskan semangat perkongsian. Warisan alam ini harus dijadikan khazanah rakyat. Bukan senang-senang dijual kepada kapitalis lintah-darat. Apatah lagi diberi kepada Sutera Harbour, yang memiliki rekod alam sekitar paling durjana di Sabah.
Saya lahir di pergunungan itu. Ya, betul-betul di kaki Nabalu (Kg. Seborong, Kundasang). Bagi komuniti natif, Gunung Kinabalu bukan sekadar satu komoditi pelancongan. Warisan alam ini menawarkan pelbagai eksplorasi ilmu. Formal dan informal. Lebih penting lagi, ia juga satu manifestasi budaya sukuan.
Kamu boleh tuduh saya sebagai sentimentalist yang mengada-ngada. Seperti sengaja melebih-lebihkan perkara yang remeh. Kamu berfikiran begitu kerana ibu kamu (tidak seperti ibu saya!) barangkali gagal mendidik kamu dengan nilai sejarah dan tradisi pergunungan ini. Tentang kisah-kisah lagenda suku yang disabitkan dengan semangat Nabalu.
Itu bukan sekadar cerita kosong. Ia mendokong pelbagai inti pendidikan dan nilai-nilai dalaman. Tentang aspirasi. Tentang liberasi. Tentang emansipasi.
Perkara rohaniah begini penting, walaupun itu semua tidak memberi duit atau makanan. Namun, itulah yang sebenarnya menguja 'sense of purpose'. Dalam diri manusia. Untuk merintis kehidupan, dengan lebih spiritual.
(vi)
Ya, saya tahu. Saya sudah tergelincir jauh daripada isu asal, tentang proses peng-GERGASI-an. Terlalu mabuk bercerita tentang Sutera Harbour, yang rakus ghairah mahu memperkosa Gunung Kinabalu. :)
Kembali kepada isu gergasi tamak. Apa masalah dengan kemunculan hypermarket Giant yang semakin menakluk bumi Sabah? Sebenarnya, tiada masalah sangat kalau ia bukan bersifat dominasi. Tapi hakikatnya, ia sedang menuju ke arah itu.
Ia bakal merencat industri runcit skala mikro. Maksudnya, ia membunuh pertumbuhan ekonomi-dagang mandiri penduduk setempat. Ia juga satu punca kebocoran ekonomi (sama seperti modus operandi KFC, MacDonald, et. al). Kenapa? Kerana rangkaian kapitalis ini bukannya milik tempatan. Pendapatan yang dijana akan dialir keluar. Jauh dari domain ekonomi di mana ia beroperasi.
Maksudnya? Gergasi ini memperalatkan kita. Ia gunakan tapak dan lokasi milik kita. Ia gunakan sumber tempatan (i.e. infrastruktur, tenaga-kerja, bahan mentah, etc). Tapi sebahagian besar pendapatan tidak akan dikitar-semula untuk membina kekuatan ekonomi setempat. Pada unjuran masa depan, ini amat merugikan. Satu ciri ekonomi yang tidak mapan.
Pada tahap yang lebih ekstrim -- monopoli mutlak boleh berlaku. Inilah ketika para pengguna boleh dimanipulasi, sebagaimana yang telah dilakukan oleh bapak-bapak kapitlais bangsat seperti: Proton, MAS dan ASTRO. Harga akan diherot mengikut tuntutan pasaran kapitalisme totok. Situasi begini, dalam kebanyakan kes, akan menjerumuskan penduduk kelas bawahan sebagai mangsa. Tapi pada ketika itu nanti, apa lagi pilihan yang kita ada?
Monopoli itu jijik dan berbahaya. Bukan saja dari segi keadilan ekonomi (i.e. penindasan gaya lintah-darat). Bahkan juga dari segi keadilan sosial (i.e. hilang hak terhadap pilihan). Kerana itu, saya tidak malu mengaku orang komunis sosialis.
(vii)
Ada seorang kawan, suka betul menyanggah pendirian saya yang agak anti-kapitalisme. Dia amat gemar menuduh saya gila meroyan. Melampau, kan? :)
Kerana dia ada asas disiplin ekonomi, dan saya pula hanya seorang klimatologis -- maka, dia selalu menyangka pendapat dia lebih munasabah. Dia akan berhujah, liberalisasi pasaran itu bagus. Tengoklah pada Eropah Barat, Jepun dan Amerika Utara. Negara-negara rantau ini memiliki kekuatan fiskal (dan kualiti sosioekonomi) yang tinggi, kerana mereka percaya pada hukum kapitalisme. Rusia runtuh dan hilang pengaruh sebagai kuasa besar dunia kerana ia cuba menolak demokrasi totok dan ekonomi kapitalisme.
Begitulah dia berceramah. Penuh berahi. Penuh taksub. Mungkin dia digaji oleh Bush untuk menyebarkan dakyah-dakyah begini. Ha ha ha ha ha!
Pada saya, soal ekonomi (dan apa saja!) -- harus dilihat secara kontekstual. Bukan teoritikal semata. Mesti ada pertimbangan mengikut situasi sebenar di sekeliling. Terutama sekali faktor-faktor tempatan. Kapitalisme itu adalah sistem ekonomi 'buku'. Membontoti saranan-saranan kapitalis secara buta-tuli tidak menjanjikan kebaikan yang tuntas.
Jangan jadi seperti Anwar Ibrahim, sang idealis yang menganut mazhab kapitalisme dengan penuh taat lagi fanatik. Sebab itu Anwar sangat bangga, sampai punggungnya kembang mengirai sebesar kawah -- bila dia diangkat sebagai Menteri Kewangan Asia Terbaik oleh Persatuan Kapitalis Totok Sedunia. Bila ekonomi Malaysia gawat pada penghujung dekad 90-an, si Menteri Kewangan Ekonomi Kapitalis Terbaik ini kelang-kelibut mencari penyelesaian. Selepas berbulan-bulan dia mengikut acuan liberalisasi-pasaran, perkembangan ekonomi negara masih lagi terkemut-kemut.
Mujur juga Mahathir muncul sebagai penyelamat. Beliau campak buang buku ekonomi-kapitalisme ke Sungai Kelang (termasuklah Anwar sekali, ha ha ha ha!). Lalu Tun M menggagaskan pendekatan ekonomi gaya tempatan. Hinggakan negara Barat (yang merupakan sekutu intim Ustaz Anwar Ibrahim) mengancam pemulauan ekonomi ke atas Malaysia (khususnya dari segi pelaburan langsung). Tapi Mahathir adalah Mahathir. Bukan penjilat punggung negara-negara kapitalis macam Anwar Ibrahim.
Kerana ketegasan itulah, maka Malaysia merintis pemulihan ekonomi yang jauh lebih pantas dan efektif. Berbanding negara-negara jiran yang lain. Kalau ikut kepala Anwar, Malaysia sekarang sudah jadi hamba-abdi kapitalisme.
(viii)
Ya, kita boleh hujahkan bahawa Eropah Barat, Amerika Utara dan Jepun telah dimakmurkan oleh ekonomi kapitalisme.
Tapi ingat, ada banyak negara di benua Afrika, Asia dan Amerika Latin -- yang telah dimangsakan oleh sistem ekonomi berasaskan liberalisasi pasaran ini. Jangan juga lupa, China telah membina kekuatan ekonominya atas landasan anti-kapitalisme. Kini China adalah salah satu gergasi ekonomi global. Bahkan, pada ketika ini -- Eropah dan Amerika Utara pun boleh sujud tunduk di kaki China!
Kapitalisme itu hanya sesuai untuk mereka yang secara tabii memiliki kuasa modal (baca: bekas negara-negara kolonialis yang selama ratusan tahun telah menghimpun kekayaan dengan cara mencuri khazanah asli wilayah-wilayah yang dijajahnya). Pasaran bebas tidak sesuai untuk negara-negara yang baru merangkak bertatih. Kita belum ampuh dengan kapital, ilmu dan teknologi.
(iX)
Jangan jadi macam di UK. Hypermarket menguasai segala-galanya. Hinggakan pilihan berorientasikan lokal sangat minimal (relatif kepada saiz industri perkhidmatan runcit secara keseluruhan). Semasa belajar di UK selama 4 tahun, saya sempat menyaksikan penutupan puluhan kedai-kedai kecil (terutama yang terletak di kawasan perumahan atau titik-titik urban kecil di pinggir bandar). Kerana gagal bersaing dengan kuasa gergasi.
Ya, proses peng-GERGASI-an tidak hanya berlaku di Sabah. Ia berlaku di seluruh dunia. Tapi keadaan di UK agak terkawal. Sungguhpun pasaraya super menguasai pasaran, ia tidak bersifat monopoli mutlak. Pengguna masih ada pilihan yang luas: Tesco, Asda, Morrison, Aldi, Roys, Sainsbury, Iceland, etc. Maksudnya, 'budaya gergasi' itu tetap memberi kesan negatif kepada kemapanan ekonomi lokal skala kecil. Tapi sekurang-kurangnya pengguna masih diberi keadilan dari segi pilihan.
Persoalannya, bolehkah kawalan begitu berlaku di Malaysia, atau di Sabah secara khusus? Saya rasa mustahil. Kita lihat saja situasi semasa: kewujudan kroni penguasa kapital yang begitu eksklusif (kerabat-kerabat yang sama saja di mana-mana!), budaya nepotisme berleluasa, dan jurang perbezaan kelas yang ketara. Ini semua adalah pemangkin sindrom monopoli.
Kalau ditilik halus-halus, itulah sebenarnya trend yang telah dan sedang berlaku. Jadi, tugas siapa untuk menghalangnya? Kalau kita semua begitu ghairah mahu mengubah status-quo politik nasional atas nama Makkal Shakti -- mengapa tidak gunakan kuasa yang sama untuk mengubah senario ekonomi yang pincang?
(x)
Jadi apa yang patut kita buat?
Saranan saya mudah saja. Sokonglah mod ekonomi tempatan. Bukan saya mahu berkempen, jangan membeli-belah di Giant. Bukan seekstrim itu. Tapi, janganlah terlalu taksub dengan kapitalis luar ini. Jangan asyik-asyik Giant saja. Jangan bersubahat mewujudkan sistem ekonomi monopoli (bagi perkhidmatan runcit) di Sabah.
Banyaklah berkunjung ke Milimewa. Begitu juga kedai-kedai runcit dan pasar-pasar kecil di sekitar petempatan sendiri. Ya, memang harganya sedikit lebih mahal. Tapi setiap sen pelaburan itu akan membantu mengukuhkan sifat mandiri ekonomi tempatan. Satu obligasi sosial, yang manfaat jangkapanjang akan dipulangkan kepada kita juga. Bukan orang lain!
Dalam era globalisasi, semua individu dan komuniti terdedah kepada bahaya neo-kolonialisme. Tiada formula paling mujarab untuk menangani ancaman ini.
Melainkan kita sendiri. Kitalah yang boleh mengubahnya. Sama ada ke arah yang lebih baik. Atau sebaliknya.