(i)
Bukan kamu saja. Saya pun sama. Barangkali satu dunia geram. Tapi apalah yang mampu kita semua buat. Menjerit marah pada langit, laut dan lapisan kerak bumi?
Akibat gempa di Taiwan, kabel optik terganggu. Natijahnya, talian internet dilanda masalah. Walau tak putus 100%, daya aksesnya jadi maha lembab. Macam lembu bunting disuruh mendaki bukit. Terengsot-engsot. Rancangan saya untuk mengemaskini blog turut terbantut. Bahkan, mahu membalas komen pengunjung pun tak dapat. Lebih kronik lagi, masalah internet ini turut membunuh seluruh mood dan motivasi saya. Ibarat pesakit lelah yang tiba-tiba putus bekalan ubat!
Itulah bahana bila kita jadi hamba kepada teknologi. Timbul masalah sikit, hidup jadi kucar-kacir tak menentu. Tapi siapa mahu kembali ke zaman batu? Berkampung dalam gua dan tidur bersama kelawar. Kamu mahu?
(ii)
Saya rasa sungguh berdosa. Tapi saya sebetulnya tidak pernah berniat menipu. Bukan juga mahu mempermainkan siapa-siapa. Sungguh tidak!
Entri saya yang lepas itu, ditulis dengan nada parodi yang sangat jelas. Saya fikir begitu. Itu hanyalah reaksi saya (dalam bentuk satira) terhadap polemik novel pop Malaysia. Tapi saya terkejut, bila ada kawan-kawan yang betul-betul menyangka saya sedang menulis novel tersebut. Bayangkan, Rem menulis novel pop bertema cinta-cintun? J
Ada yang hantar sms – bersedia untuk tolong buat promosi. Aduh! Yang lebih terharu lagi, seorang sahabat lama (yang kini mengusahakan toko buku sendiri di Alor Setar) – begitu beriya-iya mahu menempah beberapa naskhah "Cinta Sangkar Biru", bila novel itu siap kelak. Sekali lagi, aduh!
Sebagai menebus dosa saya kerana begitu gatal menulis entri yang mengelirukan – saya sedia berbogel sekarang. Ya, di depan kamu semua. Tapi berbogel secara metafora, bukan literal ya!
Sebenarnya begini, saya ada satu projek rahsia untuk tahun 2007. Tapi nampaknya ia bukan rahsia lagi kerana saya akan telanjangkannya sekarang. Enam tahun dulu saya ada menulis skrip drama pentas berjudul 'Malam Berapi di Kampung Air'. Ini kisah tentang komuniti red-light-district di Kota Kinabalu (tertumpu pada satu segmen yang dikenali sebagai 'Kampung Air'). Jangan teruja lebih-lebih. Ini bukanlah cerita tentang pelacur dan pelacuran semata-mata.
Ini adalah satu satira sosio-politik terhadap puak dan juak establishment Sabah. Perihal konflik pertembungan etnik, isu-isu migrasi dan pendatang haram, serta permainan-permainan politik tempatan. Dari perspektif geografi manusia, Kampung Air adalah model ruangan tipikal yang boleh memanifestasikan isu-isu penting negeri Sabah: bersabit dasar perlindungan sosial, ekonomi dan politik (seperti yang dijanjikan secara implisit dalam gagasan Malaysia).
Saya pernah cuba memindahkan 'idealisme' ini dalam pementasan 'Malam Berapi di Kampung Air' pada tahun 2001. Tetapi ia tidak terungkap sepenuhnya kerana ciri persembahan drama pentas yang relatifnya pendek. Kalau semua mahu dipaparkan dalam tempoh 60 minit, plot cerita tentunya akan mengelirukan penonton!
Jadi, apa kaitannya dengan projek rahsia saya? Malam Berapi di Kampung Air bakal muncul di alam siber sepanjang 2007, sebagai sebuah novel bersiri mengandungi 52 episod. Ini sebuah novel kecil, daripada kesundalan tangan seorang sosialis dan penderhaka kepada status-quo kapitalisme. And seriously, I'm not apologetic for it.
(iii)
Kampung Air, satu segmen terpencil di sebuah kota metropolitan. Terselit di celah-celah kelangkang Kota Kinabalu, yang tersergam megah di utara Borneo. Pun, pada segmen kecil yang terpinggir ini – ada seribu cerita liar tentang kehidupan kota. Juga tentang refleksi komuniti negeri ini – yang dilatari oleh migran haram pilak dan Indon; serta direncamkan oleh variasi sukuan. Tentang pelarian-pelarian dari dunia realiti. Tentang penindasan, pencabulan dan pendustaan. Tentang pertembungan nafsu serakah dan cinta sejati. Tentang politik wang dan manipulasi seks.
Julia bukan perawan lagi; sesudah dia digauli oleh Sidik berkali-kali. Dewi juga bukan lagi seorang wanita suci; sesudah dia menggoda hampir semua lelaki sepi di bandaraya ini. Termasuk politikus terhormat! Begitu juga dengan Sally, si perempuan jadi-jadian. Dia sudah lama hilang naluri dan identitii seorang lelaki bernama Salleh; sesudah dia ditiduri oleh puluhan lelaki lain.
Molly, Nonong dan Madam Ling pula – sama seperti Julia, Dewi dan Sally – sekadar entiti lahiriah semata-mata. Mereka semua sudah lama larut bersama kemilau neon dan coreng-coreng grafiti di Kampung Air. Mereka bukan manusia lagi. Hanya sekadar warna dan contengan. Mungkin memang itu pilihan mereka? Atau barangkali, mereka semua korban pembangunan? Atau mangsa percaturan politik nasional? Ahh, tiada siapa peduli mahu tahu.
Ya, Malam Berapi di Kampung Air berkisah tentang kudis dan onar proses urbanisasi bangsa; yang sebetulnya lapar meratah kemanusiaan seorang manusia. Dengan cara paling halus – sedikit demi sedikit. Seperti gigitan bubuk di dalam kayu yang sedang mereput.
Kampung Air – satu paradoks paling ironik di Kota Kinabalu. Ia penuh dengan simbahan api yang membakar. Bukan limpahan air yang mengheningkan!
(iv)
Err, kamu semua jangan terlalu ghairah. Harap-harap saja, supaya kali ini -- saya betul-betul serius mahu menulis. Takut jadi macam suam-suam tahi siput. Belum sempat merembes lurut, hangatnya sudah surut! J