Signifikan cerita 'rambut yang basah': klik sini!
Tentang Esok I
Yang kulihat, hanya dia
yang basah rambutnya
sesudah puas menari
di atas air.
Yang kuingat, hanya rindu
yang bening warnanya
sesudah disuburkan
dengan mimpi.
Ini puisi tentang esok
tapi sebetulnya
bercerita tentang dia
pada hari-hari dulu.
Mengapa, ya
aku tiba-tiba rindu
pada rambutnya yang basah?
1 Mei 2005
Norwich, Norfolk
Tentang Esok II
Bercerita tentang esok
aku tetap seperti kelmarin,
masih teringat
pada rambutnya yang basah
ya, hanya itu.
Kalau benar esok hari
ada lagi, untukku
(mudah-mudahan ada?)
aku tidak ingin peduli
pada kata dan rasa,
aku hanya mahu
mencium bau rambutnya
yang basah itu.
Antara harum rambut,
kata bermakna
atau, rasa halus;
aku lebih rindukan
rambut yang basah
kenapa, ya?
Barangkali, kerana baunya
jauh lebih menusuk
daripada rasa dan kata.
4 Mei 2005
Norwich, Norfolk
Tentang Esok III
Sudah sekian lama
kusimpan rindu untuk esok
pada harum semerbak
rambutnya yang basah,
entah kenapa
aku terus setia
menunggu sebuah janji
yang tak pernah diikat.
Hari ini, rinduku
akhirnya tumpah
tak akan bertakung lagi,
aku harus redha menerima
kasih itu bukan untukku
dia yang pernah kurindu
sudah temui cinta abadi.
Bila datang esok hari
aku bukan lagi perindu
kerana dia telah pergi,
rambutnya yang basah
kulihat terakhir kali
tika dia sedang dikapani.
Cerita tentang esok
tamat di sini, buatku
rambut yang basah itu
baunya hilang di pusara.
Norwich, Norfolk
PS: Siri puisi "Tentang Esok" adalah satu dedikasi istimewa buat seorang sahabat yang kehilangan isterinya di tanahair, ketika sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya meluncurkan di blog puisi-puisi ini beberapa waktu dulu. Sebagai sambutan ulang-tahun 'pemergian' itu, saya siarkan semula siri puisi ini dalam satu entri lengkap.